BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Pages

Tuesday, June 15, 2010

Dasar asuhan

DASAR ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KANAK-KANAK KEBANGSAAN


1. Pelbagai kajian mengenai perkembangan awal kanak-kanak khususnya di
bawah umur 4 tahun menjelaskan bahawa otak kanak-kanak mengandungi 100 bilion
sel saraf (neuron) yang mana akan membina perhubungan (sinaps) apabila sel-sel
dirangsang. Hampir 90% perkembangan otak kanak-kanak berlaku dengan pantas
semasa mereka berumur di bawah 4 tahun. Ini membuktikan bahawa peringkat awal
perkembangan kanak-kanak adalah tempoh formatif dan merangkumi detik-detik
kritikal dalam pembangunan seseorang individu.

2. Kajian juga menunjukkan bahawa kejayaan masa depan kanak-kanak
bergantung pada persediaan yang diterima semasa umur sebelum 5 tahun. Pengalaman
pembelajaran yang positif, di samping persekitaran emosi, fizikal dan intelektual yang
ceria dan gembira akan memberi impak ke atas perkembangan otak kanak-kanak
melalui pembentukan lebih banyak sinaps yang seterusnya akan berkekalan.
Perkembangan ini akan mempengaruhi pembangunan ilmu kognitif, kemahiran sosial,
pertuturan dan bahasa ketika kanak-kanak tersebut dewasa kelak.

3. Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi
negara, memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan
berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan
memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan dan misi ini
seharusnya dimulakan sejak dari lahir bagi memastikan perkembangan emosi dan
kognitif kanak-kanak lebih optimum dan bersedia apabila memasuki alam
persekolahan formal di umur 5 tahun.

0 comments: